SEBERANG TEMERLOH - Seorang wanita yang juga penjawat awam maut dihempap pokok kelapa sebaik selesai menyapu sampah di halaman rumahnya di Kampung Tebal, di sini, hari ini.

Mangsa, Wan Noraziah Wan Mohamad, 55, yang bekerja di Mahkamah Temerloh meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) apabila sebatang pokok kelapa tua tumbang ke arahnya kira-kira jam 10 pagi.

Semasa kejadian, terdapat sebuah jentolak sedang membersihkan kawasan rumah jiran mangsa.

Menurut pemandu jentolak yang dikenali sebagai Ramesh, sebelum kejadian dia membersihkan kawasan persekitaran rumah itu  dan sekitar kawasan berhampiran rumah mangsa.

“Masa saya bersihkan belakang rumah jiran mangsa, tiba-tiba bunyi dentuman kuat, bila saya toleh tengok mangsa tersepit di bawah pokok kelapa.

“Saya mengalihkan batang pokok kelapa dari badan mangsa dengan menggunakan jentolak,” katanya.

Sementara itu jiran mangsa, Ibrahim Mamat 68, berkata, sebelum kejadian dia baru beberapa minit berbual dengan mangsa.

Menurutnya, dia menyewa sebuah jentolak untuk membersihkan kawasan rumah sebagai persediaan majlis perkahwinan anaknya pada 29 November depan.

“Saya bersembang dengan mangsa beberapa minit sebelum tu, kami bincang untuk bersihkan kawasan rumah saya dan dia juga minta saya bersihkan semak di hadapan rumahnya.

“Dia sangat baik orangnya, dia juga menawarkan saya kawasan tanah lapang di hadapan rumahnya untuk dijadikan parkir kereta untuk kenduri.

“Selesai bincang saya kembali melihat jentolak di tepi rumah dan dia pulang semula ke rumahnya, tiba-tiba bunyi dentuman kuat. Bila saya toleh mangsa dihempap pokok kelapa,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Anuar Othman ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.- Sinar Harian, 18/10/2015